Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Tak Sangka Dahulu Harga Dia 50 sen, sekarang RM60....😱


Dahulu 50 sen, sekarang RM60

Sharman Arjo
Tanjung Malim: Sudah berpindah atau terlupa. Itulah antara pengalaman yang dilalui tukang kasut, Sharman Arjo, 64, sejak lebih 30 tahun mencari rezeki dengan mengambil upah membaiki kasut, dekat sini.

Lebih menarik lagi, ada segelintir pelanggan datang ke kedai yang terletak di Jalan Besar, Tanjung Malim, dekat sini, selepas lima tahun untuk mengambil kasut yang pernah dihantar untuk dibaiki oleh warga emas terbabit.

Sharman berkata, alasan yang diberikan segelintir pelanggan menyebabkan ruang bahagian kedainya kadangkala dipenuhi kasut yang tidak dituntut oleh pelanggan.Katanya, berpandukan nombor telefon yang diberikan oleh pelanggan lalu dia menghubungi pelanggan kerana biasanya dia akan menulis nombor telefon pada beg atau kasut yang ditinggalkan oleh pelanggan terbabit.

"Bila menghubungi, ada yang memaklumkan sudah berpindah di luar kawasan dan ada juga yang memberi alasan terlupa serta ada juga yang datang mengambil kasut selepas dihubungi.

"Paling tidak dapat dilupakan, ada juga pelanggan yang datang ke kedai selepas lima tahun untuk mengambil kasut miliknya.

"Kasut juga ada tempoh luput, kalau dibiarkan terlalu lama, sudah tentu ia akan rosak menyebabkan saya mempunyai dua pilihan sama ada dibuang atau menjual sebagai kasut terpakai dengan harga murah," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Dia yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) berhijrah ke negara ini sekitar 1980-an dan terbabit di dalam sektor perladangan dan pembinaan di Johor sebelum berpindah ke Tanjung Malim pada 1990 bagi memulakan kehidupan baharu.

Berkahwin dengan penduduk tempatan, Malanita Salman yang kini berumur 55 tahun pada 1997 dan belum dikurniakan cahaya mata. Sejak berhijrah ke pekan ini, membaiki kasut adalah pekerjaan utama bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pembabitan awal, dia berkata, ketika bekerja di sektor pembinaan sebagai buruh di Johor, dia mencuri masa belajar membaiki kasut daripada penduduk tempatan.

Katanya, ilmu membaiki kasut itulah yang dimanfaat sehingga kini sehingga bukan sahaja mampu membaiki kasut, malah turut menjual kasut baharu.

"Membaiki kasut bukanlah susah bagi mereka yang mahir atau berpengalaman hanya perlukan tumpuan yang lebih ketika membaiki kasut supaya kasut terbabit dapat digunakan semula oleh pelanggan.

"Bukan semua kasut yang boleh dibaiki dan biasanya saya akan melihat dengan teliti terlebih dahulu sebelum membaiki kasut pelanggan.

"Dahulu bayaran membaiki kasut hanya 50 sen sahaja, kini bergantung jenis kerosakan dari harga RM2 sehinggalah RM60 dan yang mahal biasanya bagi menukar tapak kasut lelaki yang perlu digam serta dijahit dengan kemas," katanya.

Kasut yang dijual di kedai kebanyakannya dari Medan, Indonesia. Setiap enam bulan sekali, sambil pulang ke Medan melawat rumah saudara mara, dia turut membeli pelbagai jenis kasut untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Ada juga kasut dibeli di premis perniagaan kasut yang akan menutup perniagaan tetapi kebanyakan kasut terbabit bersaiz besar menyebabkan banyak kasut berkenaan terbiar di rak.

Mengenai sambutan yang diterima pelanggan, dia berkata, sehingga hari ini, semua pelanggan yang datang membaiki kasut berpuas hati dengan hasil kerja tangannya.

Disiarkan pada: Oktober 8, 2022 @ 6:00am